TM beroperasi seperti biasa sepanjang PKP 2.0


Kuala Lumpur: Aktiviti pemasangan baharu dan baik pulih perkhidmatan di premis pelanggan Telekom Malaysia Bhd (TM) akan diteruskan seperti biasa sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) selama dua minggu yang bermula hari ini.

TM dalam kenyataan berkata, bagaimanapun di kawasan zon Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD), Perintah Pemerhatian Dan Pengawasan Di Rumah (HSO) hanya keperluan kritikal yang akan dilayani.

Syarikat utiliti nasional itu juga memberi jaminan sebelum melaksanakan sebarang kerja di premis pelanggan, anggota TM akan mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya, termasuklah melakukan pemeriksaan suhu badan sewaktu memulakan syif mereka dan mengisytiharkan status kesihatan mereka sebelum memasuki premis.

“Sebagai tambahan, pelanggan akan diminta untuk melengkapkan borang Pengisytiharan Pelanggan Selepas Selesai Tugasan untuk mengesahkan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh pasukan pemasangan atau pasukan teknikal TM yang melayani permintaan perkhidmatan mereka,” katanya.

Pada masa sama, waktu operasi pusat khidmat pelanggannya termasuklah premis TMpoint di seluruh negara dan Pusat Perhubungan Pelanggan TM kekal dibuka seperti biasa sambil mematuhi SOP, serta panduan keselamatan tambahan TM.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Imri Mokhtar berkata, TM sebagai penyedia perkhidmatan penting negara akan meneruskan operasinya seperti biasa agar setiap orang kekal di rumah, kekal berhubung, kekal terhibur, kekal bermaklumat dan kekal dilayani semasa PKP ini.

“Sekiranya pelanggan memerlukan sebarang bantuan sokongan berkaitan perkhidmatan, kami menggalakkan mereka untuk memanfaatkan pelbagai saluran dalam talian kami dan ejen-ejen kami akan sedia membantu,” katanya.



Source link