Seri Everest bawa muatan kargo terbesar etana


Kuala Lumpur: Kapal pengangkut etana berskala besar (VLEC) pertama MISC Bhd, Seri Everest menyelesaikan pemuatan kargo penuh buat julung kalinya pada 17 Januari lalu iaitu pemuatan terbesar etana dalam sejarah penghantaran etana setakat ini.

Pemuatan kargo itu dilaksanakan di bawah pemantauan pakar daripada Eaglestar sebagai pengurus kapal dilantik di Terminal Eksport Etana Orbit yang baharu dibangunkan di Nederland, Amerika Syarikat (AS).

Seri Everest adalah VLEC generasi kedua yang pertama untuk eksport etana keluar dari terminal baharu itu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Yee Yang Chien berkata, pelaksanaan itu menjadi pemuatan kargo pertama bagi VLEC terbesar seumpamanya dalam pasaran.

“Saya yakin ini permulaan bagi banyak lagi pencapaian selepas ini dalam memenuhi keperluan pasaran untuk etana.

“Peningkatan kukuh jumlah dagangan membolehkan kami meraih kelebihan sebagai syarikat pertama dengan kapal kami menawarkan lebih banyak kapasiti kargo untuk memenuhi pertumbuhan pengeluaran,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian bersejarah itu membuktikan komitmen syarikat terhadap pelanggan dan jaminan penghantaran mengikut standard keselamatan dan kualiti tertinggi.

Seri Everest ialah kapal pertama daripada enam VLEC yang dibeli MISC pada Julai 2020.

Semua enam VLEC itu kini berada di bawah kontrak dengan Zhejiang Satellite Petrochemical Co Ltd (STL) bagi carter jangka panjang selama 15 tahun.

Menurut MISC, Seri Everest kini dalam perjalanan pulang dari AS ke loji etilena Lianyungang di wilayah Jiangsu, China bagi pelayaran sulungnya.

“Sepanjang pelayaran sulung dan semasa operasi, MISC dan Eaglestar mengamalkan normal baharu langkah dan prosedur keselamatan yang ketat termasuk mengehadkan petugas dalam kapal ketika operasi, penjarakan fizikal dan meminimumkan kontak rapat,” katanya.



Source link