Salur informasi tepat

PETALING JAYA: Masyarakat memerlukan pemahaman dan panduan yang boleh diyakini ketika berdepan ketidaktentuan ekonomi pada masa depan, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda bertitah, hasil maklumat yang tepat membantu kepada sesuatu tindak balas lebih berkesan untuk berdepan situasi yang tidak menentu itu.

“Dalam keadaan ketidaktentuan yang semakin meningkat, kita memerlukan panduan yang boleh dipercayai. Sudah tentu tiada siapa yang dapat meramalkan dengan tepat keadaan dinamik kompleks.

“Malah, (bekas Gabenor Bank Negara Malaysia) Tan Sri Dr Lin See Yan tidak boleh berpura-pura seolah-olah memiliki bola kristal.

“Namun, sama ada betul atau tidak, ramalan spesifik akan berubah menjadi lebih tepat dan menjadikan kita lebih berhati-hati serta mempertimbangkan analisis diperlukan bagi membantu kita menavigasi cabaran berkenaan, seterusnya bertindak balas dengan lebih berkesan,” titah baginda.

Baginda berucap pada pelancaran karya terbaharu Dr Lin di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah.

Baginda turut berkenan melancarkan buku berkenaan yang bertajuk Trying Troubled Times Amid Trauma & Tumult dan menyifatkan karya itu memberikan analisis tidak ternilai yang mencakupi spektrum topik serta isu meluas.

Sultan Nazrin bertitah, globalisasi ekonomi terganggu dan trend berkenaan boleh dilihat dengan isu United Kingdom (UK) yang bakal keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) serta pertikaian perdagangan yang berpanjangan.

“Gangguan itu mewujudkan ketidaktentuan baharu dan perniagaan misalnya tidak boleh merancang dengan baik untuk tempoh terdekat,” titah baginda.

Karya terbaharu Dr Lin antara lain mengupas ketidaktentuan dan pergolakan dalam makroekonomi global sejak krisis kewangan global pada 2008.

Antara mesej disampaikan ialah masih ada ruang menghadapi halangan itu walaupun ada pelbagai cabaran sama ada dari aspek politik dan ekonomi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *