Royal Canin bantu elak ‘si bulus’ dimandulkan alami obesiti


Kuala Lumpur: Tindakan memandulkan haiwan peliharaan bukan hanya bertujuan mengawal populasi haiwan terbiar di kejiranan, malah memberi manfaat kesihatan kepada haiwan terbabit.

Pelbagai kajian membuktikan kucing dimandulkan akan lebih sihat dan mempunyai jangka hayat lebih panjang dibandingkan dengan kucing tidak dimandulkan.

Pengurus Komunikasi Saintifik Royal Canin Malaysia, Dr Dylan Choy berkata, pemilik haiwan peliharaan dinasihati memandulkan atau mensterilkan kucing mereka apabila ia cukup umur atau atas nasihat doktor haiwan.

Menurutnya, proses berkenaan membantu untuk mencegah jangkitan rahim dan ketumbuhan kelenjar mammary yang terbukti berbahaya atau boleh menyebabkan kanser bagi 90 peratus kucing dijangkiti serta turut mengurangkan risiko kanser testis dan masalah prostat bagi kucing jantan.

“Antara fakta lain kurang diketahui mengenai kucing menjalani proses pemandulan adalah ia kurang merayau serta terbabit dalam percakaran atau pergaduhan dengan binatang lain.

“Ini mengurangkan risiko luka yang mungkin menjadi bengkak dan bernanah, sekali gus mengurangkan penyebaran penyakit lain,” katanya.

Beliau berkata, bergaduh dan menggigit satu sama lain, menyebabkan risiko kucing dijangkiti feline immunodeficiency virus (FIV) yang tersebar menerusi air liur dan darah.

Menurutnya, selain itu Feline Leukaemia Virus (FeLV) yang kerap membawa maut menerusi jangkitan air liur atau rembesan hidung.

Katanya, retrovirus berkenaan sekiranya tidak dilawan oleh sistem imun ‘si bulus’ boleh mengakibatkan penyakit membawa maut.

“Keputusan mensteril atau memandulkan kucing peliharaan sememangnya penting dan satu keperluan kerana terbukti mampu meningkatkan jangka hayat si bulus di samping mengetengahkan manfaat lain.

“Ia termasuk mengurangkan kemungkinan dan penyebaran jangkitan seksual, mengehadkan bilangan kucing terbiar dan tindakan zalim membuang anak kucing tidak diingini,” katanya.

Beliau berkata, keperluan tenaga harian yang menurun selepas pemandulan dan kurangnya khasiat serta kawalan pemakanan betul boleh menyebabkan obesiti.

Katanya, ia kemudian berpotensi menyebabkan ‘si bulus’ mengalami masalah lain seperti sakit sendi, isu saluran kencing dan peningkatan risiko penyakit kencing manis.

“Adalah penting bagi kucing peliharaan dimandulkan untuk diberi diet khusus. Royal Canin disediakan khas untuk tujuan mengawal berat badan kucing peliharaan.

“Makanan khas ini menyediakan pelbagai manfaat untuk kucing dimandulkan kerana ia membantu untuk mengehadkan risiko berat badan berlebihan berikutan kandungan lemaknya yang sederhana dan mengikut catuan harian diperlukan.

“Apatah lagi, ia menyokong sistem urinari sihat dengan menyediakan mineral seimbang dan mencukupi, sekali gus mengurangkan risiko pembentukan batu karang,” katanya.



Source link