PKS ke arah global

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menyasar peningkatan 30 peratus nilai eksport perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjelang 2030 menerusi program pengantarabangsaan baharu iaitu SMEs Go Global.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, pihaknya yakin SMEs Go Global mampu menjadi pemangkin meningkatkan sumbangan berikutan hala tuju program berkenaan disasarkan untuk membantu PKS tempatan meneroka pasaran luar negara.

Katanya, sasaran itu boleh dicapai sekiranya usahawan PKS bekerjasama dengan mengikut program dirangka.

“Kerajaan hari ini lebih sensitif untuk membantu mereka (usahawan PKS) supaya sama-sama capai sasaran.

“Walaupun cabaran tinggi, kerajaan menggalakkan mereka meneroka pasaran luar yang mempunyai ekonomi lebih luas.

“Dengan galakan kerajaan, mereka sepatutnya lebih yakin sebab dalam Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030, kita tahu apa diutamakan,” katanya selepas menyempurnakan majlis perasmian SMEs Go Global dan SME Co-Investment Partners (SCIP0) di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha MEDAC Datuk Wan Suraya Wan Md Radzi, Pengerusi SME Corp Malaysia Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia Noor Azmi Mat Said.

Turut berlangsung adalah sesi pertukaran memorandum kerjasama antara SME Corp Malaysia dengan Huawei Malaysia.

Menurut Mohd Redzuan, selain SMEs Go Global, SME CorpMalaysia turut memperkenalkan program SCIP dengan peruntukan dana RM15 juta dalam usaha meningkatkan pelaburan peringkat awal perniagaan.

Katanya, program itu membolehkan pelabur swasta melabur dalam PKS yang berdaya maju dan setakat ini, empat firma pengurusan dana disenarai pendek sebagai rakan kongsi pelaburan.

“Saya berharap kerjasama ini akan menggalakkan lebih banyak pelabur swasta untuk melabur di dalam PKS tempatan pada fasa awal perniagaan.

“Cuma, dalam satu era penuh dengan cabaran, pelabur sangat teliti kerana mahu pelaburan dibuat beri hasil seperti yang mereka kehendaki.

“Jadi, kita mahu pastikan sektor yang ingin mereka (PKS) terokai jelas dan selari dengan dasar kerajaan,” katanya.

2 Comments on “PKS ke arah global”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *