Penerbangan OD315 patah balik

MALINDO Air mengesahkan penerbangan OD315 dari Jakarta, Indonesia ke Kuala Lumpur petang semalam terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta ekoran masalah tekanan.

Syarikat penerbangan berkenaan dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini berkata, kru operasi mendapati pesawat itu mengalami masalah tekanan apabila topeng oksigen tiba-tiba terkeluar.

“Juruterbang kami segera menjalankan senarai semak kecemasan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dan memaklumkan menara kawalan trafik udara sebelum mendarat di Jakarta,” katanya.

Pesawat selamat mendarat pada pukul 3.17 petang waktu Jakarta dan tiada kecederaan dilaporkan.

Penerbangan dengan pesawat jenis Boeing 737-900ER itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada jam 2.42 petang waktu tempatan, membawa 85 penumpang dewasa dan enam anak kapal.

Tiada penumpang di kalangan bayi dilaporkan berada dalam pesawat.

Pesawat itu sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 5.20 petang semalam.

“Penumpang telah diurus oleh kakitangan kami dan mengatur penginapan serta penerbangan mereka dengan pesawat lain ke Kuala Lumpur,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *