Muktamad rakan strategik MAB akhir tahun ini

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd dijangka memuktamadkan rakan strategik Malaysia Airlines Bhd menjelang akhir tahun ini.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, sayap pelaburan kerajaan itu menerima cadangan daripada lebih 20 pihak untuk mengambil alih syarikat penerbangan negara yang bermasalah itu.

“Cadangan itu gabungan antara pengurus dana, syarikat penerbangan global dan serantau selain pelabur,” katanya di luar Forum Khazanah Megatrends 2019 di sini, semalam.

Beliau berkata, Khazanah akan dapat mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan sebaik saja proses penilaian dimuktamadkan.

Julai lalu, Khazanah melantik Morgan Stanley untuk meneroka pilihan strategik memulihkan Malaysia Airlines, termasuk potensi menjual kepentingan.

Shahril Ridza berkata, pelantikan Morgan Stanley penting bagi Khazanah untuk mendapatkan pelabur berpotensi kerana ia mengutamakan penasihat bebas menjalankan kajian daya maju pelaburan menilai proses komersial dan perniagaan.

“Ini bagi memastikan kerahsiaan terjamin, sambil memastikan prosesnya adil,” katanya.

Khazanah percaya Malaysia Airlines masih mempunyai nilai intrinsik dan menyasar untuk mendapatkan perkongsian yang tepat untuk merealisasikan nilai syarikat penerbangan negara itu.

“Khazanah menjangka menyuntik RM1.3 bilion bagi tahun ini. Ia pelaburan untuk mengekalkan syarikat penerbangan itu dengan kos operasinya,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan Khazanah menyuntik RM800 juta ke dalam Malaysia Airlines melalui syarikat pegangannya, Malaysia Aviation Group Bhd.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *