Med komited perkasa PKS

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan (Med) komited memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) apabila berjaya mendapat kelulusan kerajaan bagi tambahan dana pembangunan dalam Belanjawan 2020.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, dana tambahan berkenaan adalah sebanyak 15 hingga 20 peratus daripada RM325.5 juta jumlah bajet pembangunan yang diperuntuk kepada Med bagi tahun depan.

Katanya, dengan penambahan dana itu, ia akan digunakan dalam program yang boleh mendukung dasar nasional untuk menjadikan Malaysia negara usahawan.

“Saya ada berbincang dengan Perdana Menteri supaya ada sedikit pindaan (pada belanjawan) untuk melaksanakan program yang telah kita rancang dan beliau telah bersetuju menambah sedikit yang tidak perlu saya sebut di sini tapi bermakna bagi Med untuk kita salurkan kepada agensi mengikut merit pelaksanaan itu sendiri.

“Kita mahu menjadikan Malaysia negara keusahawanan dan mahu melihat rakyat mempunyai kuasa beli dan pendapatan yang tinggi,” katanya kepada media selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun ke-20 Tekun Nasional di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri MED, Datuk Wira Dr Mohd Hatta Ramli dan Pengerusi Tekun Nasional, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor.

Redzuan turut menyarankan Tekun Nasional untuk mewujudkan pusat inkubasi bagi membentuk dan membimbing usahawan dalam sektor strategik dari segi kepakaran dan teknologi terkini seperti digital dan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Beliau berkata, pusat inkubasi itu diharap dapat melatih dan menyediakan data pasaran kepada usahawan Tekun Nasional, seperti jenis tanaman berpotensi diusahakan yang ada nilai pasaran tinggi bukan saja di dalam negara malah di luar negara.

Sementara itu, Mohamad Suparadi berkata, setakat Oktober 2019, Tekun Nasional sudah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM356 juta kepada 17,253 usahawan di seluruh negara.

“Bagi tahun depan, Tekun Nasional menyasarkan untuk menyalurkan pembiayaan sebanyak RM330 juta kepada 22,000 usahawan di mana 18,000 daripadanya adalah kategori usahawan baharu,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *