Lulus RM332j

KUALA LUMPUR : Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) sudah meluluskan kemudahan perbankan berjumlah RM332 juta kepada 82 vendor di bawah Program Pembiayaan Vendor Petronas.

Ketika ini, Bank Islam sedang memproses empat permohonan untuk program sama berjumlah RM21.7 juta.

Program berkenaan adalah satu inisiatif khusus yang direka khas untuk vendor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memperoleh kontrak dengan syarikat minyak dan gas negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, objektif program terbabit adalah untuk mengurangkan beban kewangan vendor sektor peralatan minyak dan gas (OGSE) dalam memenuhi kewajipan mereka dengan Petronas.

“Bank Islam amat komited untuk menyokong perniagaan PKS dan kami berhasrat untuk memperluaskan portfolio PKS yang ditawarkan.

“Pada masa sama, kami mahu meneroka lebih banyak kerjasama dengan syarikat milik kerajaan dan syarikat besar lain menerusi program pembangunan vendor mereka.

“Potensi perkongsian ini akan membantu rantaian rangkaian mereka serta memenuhi keperluan kewangan kepada vendor yang layak,” katanya pada majlis pemeteraian perjanjian kemudahan pembiayaan antara Bank Islam dan Setegap Ventures Petroleum Sdn Bhd (SVP) di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi SVP, Datuk Nasri Nasrun, Ketua Pegawai Eksekutif SVP, Mohd Shahrin Saad dan Ketua Perbankan Komersial Bank Islam, Ahmad Haliman Abdul Halim.

Pemeteraian perjanjian itu membabitkan kemudahan pembiayaan berjumlah RM98.35 juta oleh Bank Islam kepada SVP, syarikat berdaftar sebagai vendor Petronas yang khusus kepada aktiviti intervensi telaga minyak dan gas segmen huluan.

Melalui perjanjian terbabit, SVP akan memanfaatkannya bagi membiayai perbelanjaan modal dan keperluan modal kerja dalam menyelesaikan kontrak dengan Petronas Carigali Sdn Bhd.

Mohd Muazzam berkata, Bank Islam sentiasa berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada usaha yang dapat memberi manfaat kepada kemajuan ekonomi negara secara keseluruhannya.

“Malah, pada tahun hadapan kami juga merancang untuk memperuntukkan sekitar RM1.2 bilion hingga RM1.3 bilion bagi program pembangunan vendor yang turut akan membabitkan sektor lain selain dari segmen minyak dan gas serta tenaga.

“Kami berharap usaha ini dapat membantu perniagaan dalam kalangan vendor untuk berkembang lebih maju dalam industri yang mereka ceburi,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *