Lima pihak minat ambil alih PLUS

TERDAPAT lima pihak menunjukkan minat untuk mengambil alih PLUS Expressway Bhd (PLUS) dengan satu daripadanya bukan syarikat tempatan.

Lima pihak berkenaan adalah RRJ Capital, Widad Business Group Sdn Bhd, Maju Holdings Sdn Bhd, ahli perniagaan Tan Sri Halim Saad dan Koperasi Konsortium Pemaju dan Kontraktor Bumiputera Perak Bhd (KKPKBP).

Firma ekuiti swasta milik warga Malaysia yang berpangkalan di Hong Kong, RRJ Capital meletakkan tawaran bidaan kepada RM3.5 bilion berbanding RM3 bilion yang dinyatakan sebelumnya.

Manakala, Widad Business Group Sdn Bhd (WBG) pula mengemukan dua pilihan tawaran iaitu mengambil alih 51 peratus kepentingan Khazanah Nasional Bhd secara tunai pada harga RM1.5 bilion dengan baki kepentingan masih dipegang 49 peratus ekuiti kekal dipegang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta pilihan kedua iaitu cadangan mengambil alih 100 peratus ke atas kepentingan Khazanah dan KWSP pada pertimbangan tunai RM3 bilion.

Maju Holdings Sdn Bhd pula mengemukakan tawaran bernilai RM36 bilion untuk membeli keseluruhan aset dan liabiliti PLUS daripada UEM Group Bhd dan KWSP.

Sementara itu, ahli perniagaan, Tan Sri Halim Saad bersama ahli perniagaan terkemuka Wong Gian Kui membuat tawaran tertinggi dengan nilai RM5.2 bilion.

Manakala, KKPKBP pula menawarkan untuk membeli 100 peratus kepentingan dalam syarikat konsesi lebuh raya itu pada pertimbangan tunai RM30 bilion.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam laporan sebelum ini berkata, cadangan pengambilalihan konsesi lebuh raya kendalian PLUS dan empat lebuh raya berkaitan Gamuda Bhd di Lembah Klang akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet, hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak boleh mendedahkan lebih lanjut termasuk pihak mana yang berjaya dalam bidaan kerana ia membabitkan pengumuman penting.

Lebuh raya yang terbabit dalam konsesi PLUS ialah Lebuh Raya Utara Selatan, Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (LINKEDUA), Jambatan Pulau Pinang, Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuh Raya Butterworth Kulim (BKE) dan Lebuh raya Seremban-Port Dickson (SPDH).

Sementara itu, empat lebuh raya berkaitan Gamuda ialah Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Sprint (SPRINT) dan Terowong Smart (SMART).

Terdahulu, kerajaan menerusi Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) mengemuka tawaran pengambilalihan kepentingan dalam empat pengendali lebuh raya utama membabitkan nilai RM6.2 bilion.

Empat lebuh raya terbabit ialah Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK) pada nilai RM2.47 bilion, SPRINT (RM1.984 bilion), KESAS (RM1.377 bilion) dan SMART (RM369 juta).

Pengambilalihan itu seiring dengan pengumuman kerajaan pada Februari lalu yang bercadang untuk mengambil alih empat lebuh raya terbabit, sebagai sebahagian daripada janji pilihan raya.

Gamuda memiliki 70 peratus kepentingan dalam KESAS, SPRINT (52 peratus), LITRAK (44 peratus) dan 50 peratus dalam SMART.

LITRAK ialah pengendali Lebuhraya Damansara Puchong (LDP).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *