Labur RM60 juta | Harian Metro


Kuala Lumpur: Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) akan menjadikan makanan halal sebagai tonggak pertumbuhan baharu kumpulan berikutan langkah pengambilalihan tiga syarikat makanan dan minuman (F&B) yang membabitkan pelaburan RM60 juta.

Pengambilalihan Sri Nona Food Industries Sdn Bhd, Sri Nona Industries Sdn Bhd dan Lee Shun Hing Sauce Industries Sdn Bhd akan membolehkan F&N menambah lagi jenama makanan seisi rumah Malaysia kepada portfolio jenama terkenal kumpulan.

Strategi itu membolehkan F&N mencapai cita-cita menjadi syarikat F&B serba lengkap yang terkemuka di rantau Asean.

Ketua Pegawai Eksekutif F&N, Lim Yew Hoe berkata, kumpulan sentiasa mencari cara untuk ‘mentafsirkan semula’ perniagaannya menerusi pertumbuhan organik dan sinergi perniagaan untuk memastikan masa depan yang lebih mampan.

“Pelaburan terbaharu kami akan menjadi platform untuk meluaskan operasi dalam lebih banyak segmen makanan halal bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk produk mudah dan sedia dimakan.

“Dengan keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang kukuh, kami yakin pengambilalihan baharu ini membantu mengembangkan kategori makanan halal, melengkapi tawaran sedia ada, selain memperkenalkan lebih banyak produk inovatif untuk meningkatkan margin keuntungan dalam jangka panjang,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-59 yang diadakan secara maya, semalam.

Sri Nona terkenal kerana produk utamanya, Ketupat Nona yang menjadi jenama ketupat nombor satu di Malaysia manakala rangkaian produk sos tiram pula adalah tiga teratas dalam kategorinya.

Lim berkata, memandangkan sekatan pergerakan dan perubahan tingkah laku pembelian pengguna, kumpulan menambah baik strategi saluran serta laluan ke pasarannya untuk mendekati hati pengguna bagi memenuhi keperluan dan jangkaan mereka.

Katanya, selepas meningkatkan skala e-dagang pada 2020 bagi memanfaatkan pertumbuhan pesat saluran itu, F&N terus meneroka pelbagai pilihan penunaian pesanan untuk meningkatkan kelebihan daya saingnya.

“Baru-baru ini, kami membuka pusat penunaian pesanan F&N Life di Kuala Lumpur yang memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna seperti kutip sendiri dan penghantaran ekspres hari berikutnya untuk pembeli dalam talian kami.

“Pada masa depan, kami akan membuka lebih banyak pusat penunaian pesanan F&N Life di seluruh Malaysia untuk mewujudkan pengalaman pengguna yang memuaskan,” katanya.



Source link