Labur RM5j sedia kenderaan pemandu

KUALA LUMPUR: Syarikat perkhidmatan e-hailing, MyGo memperuntukkan pelaburan RM5 juta dalam menyediakan kemudahan kenderaan kepada pemandunya.

Ketua Pegawai Operasinya, Muraliraj Seenivasan berkata, untuk permulaan 120 kereta model Proton Saga terbaharu disediakan buat yang terpilih dengan syarat ditetapkan.

“Tawaran ini sesuai buat mereka yang tidak mempunyai kenderaan sendiri untuk digunakan dalam perkhidmatan e-hailing melalui konsep sewa beli yang tidak membebankan.

“Selain itu, pelbagai kelebihan lain turut diberi iaitu dengan mendaftar sebagai pemandu mereka layak mendapat bonus RM300 dan pek permulaan bernilai RM50,” katanya pada majlis pembukaan hab Kuala Lumpur dan Selangor.

Buat masa ini terdapat lebih 43 syarikat e-hailing di negara ini dan persaingan lebih disifatkan mereka sebagai perkhidmatan untuk dikongsi bersama entiti lain.

Kedudukan perkongsian pasaran MyGo dicatatkan sekitar 5.0 peratus tahun ini dan menyasarkan kepada 10 peratus tahun hadapan.

Bagi memastikan kelancaran operasi, mereka kini giat menyiapkan hab di setiap negeri dan yang pertama untuk Kuala Lumpur dan Selangor sudah beroperasi di Jalan Kuching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *