Had transaksi tunai tak jejas ekonomi

SEKTOR ekonomi dalam negara dijangka tidak akan terjejas sekiranya cadangan had transaksi tunai (CTL) dikuatkuasakan pada aras RM25,000 mulai tahun hadapan.

CTL adalah inisiatif di bawah Jawatankuasa Penyelarasan Pengubahan Wang Haram Kebangsaan (NCC) dan Bank Negara Malaysia (BNM) adalah sekretariat kepada jawatankuasa terbabit.

Timbalan Gabenor BNM merangkap Pengerusi NCC, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, sekiranya CTL dilaksanakan, berdasarkan penilaian oleh pihak jawatankuasa, ia dilihat tidak akan menjejas dan memberi kesan kepada ekonomi negara.

“Apa yang pasti, ia hanya akan memberi impak kepada kumpulan penjenayah yang menggunakan tunai untuk menjalankan kegiatan jenayah kewangan.

“Malah, untuk perniagaan, berkemungkinan usaha CTL ini akan membantu memantapkan operasi dan menjurus penggunaan platform elektronik selain transaksi yang lebih selamat,” katanya pada sesi taklimat media mengenai pelaksanaan CTL di Kuala Lumpur, hari ini.

Ahli NCC termasuklah Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Jabatan Imigresen, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan beberapa kementerian.

Abdul Rasheed berkata, pihaknya turut mengambil maklum bahawa terdapat beberapa sektor perniagaan yang menggunakan transaksi bernilai tinggi bagi operasi yang dijalankan mereka.

“Sebagai contoh, berdasarkan rundingan dengan pemain industri automotif, mereka lebih terdedah dengan penggunaan tunai yang tinggi.

“Jadi, perkara ini dilihat penting supaya mereka didedahkan dengan pelbagai jenis pilihan transaksi yang lebih mudah dan selamat seperti elektronik dan digital,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *