Gesa pembabitan besar sektor B2G

KUALA LUMPUR: Kerajaan menggalakkan pembangunan teknologi dan inovasi untuk memacu pertumbuhan perniagaan dalam sektor perniagaan kepada kerajaan (B2G) khususnya dalam Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0), kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming.

Katanya, kerajaan berharap pembabitan yang lebih besar dalam sektor B2G untuk meningkatkan penggunaan teknologi, khususnya dalam sektor pembuatan.

“Saya berharap dapat melihat bagaimana teknologi dan inovasi boleh digunakan oleh kerajaan termasuk dalam bidang terbatas untuk menambah baik industri di Malaysia,” katanya pada Persidangan Sharp Smart Connected 2020, semalam.

Ong berkata, Sharp Electronics (Malaysia) telah menyediakan contoh penyelesaian ekosistem lengkap dengan menggunakan Kecerdasan Buatan Pelbagai Benda (AIoT), paparan resolusi 8K dan teknologi rangkaian 5G.

Sementara itu, Pengarah Urusan Sharp Electronics, Robert Wu berkata, sejajar dengan usaha B2G, syarikat itu telah bekerjasama dengan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia untuk menghasilkan video promosi Tahun Melawat Malaysia 2020 dalam resolusi 8K.

“Kami mengambil masa kira-kira tiga minggu untuk merakam video sebenar 8K dan kami akan melancarkannya (video promosi) berkemungkinan pada pertengahan Januari tahun depan,” katanya.

Katanya, Sharp dalam perbincangan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyediakan teknologi 8K+5G pada satu acara di Langkawi, Kedah.

Pada persidangan itu, Sharp juga mempamerkan makmal 8K+5G terdiri daripada pelbagai skrin 8K, sebuah panggung mini 8K dan studio mikro 8K untuk membangunkan pengstriman secara langsung 8K.

Makmal berteknologi tinggi berfungsi sebagai tapak ujian bagi teknologi 8K dalam membolehkan pemindahan data besar dan paparan resolusi tinggi untuk memanfaatkan industri perniagaan, hiburan, pendidikan dan pelancongan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *