ECERDC tarik pelaburan RM5.5 bilion


Kuala Terengganu: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya menarik pelaburan bernilai RM5.5 bilion dan merealisasikan pelaburan berjumlah RM4.2 bilion tahun lalu walaupun berdepan cabaran berikutan pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat berkata, pelanjutan insentif bagi pelaburan ke Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) oleh Kerajaan Persekutuan untuk tempoh dua tahun sehingga 31 Disember 2022 akan menjadi rangsangan utama dalam menarik pelaburan baharu dan mengembalikan momentum ekonomi di Wilayah ECER.

Beliau berkata, antara insentif di bawah Pakej Insentif ECER adalah pengecualian cukai pendapatan, elaun cukai pelaburan, potongan bagi pelaburan dalam sektor pertanian dan pengecualian duti setem untuk aktiviti-

aktiviti yang dipromosikan.

“ECERDC akan memanfaatkan lanjutan insentif ini untuk menggiatkan promosi ECER sebagai destinasi pelaburan dalam tempoh dua tahun akan datang bagi menarik lebih banyak pelaburan

yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“ECERDC masih mengekalkan sasaran untuk mencapai pelaburan swasta baharu bernilai RM70 bilion menjelang 2025 seperti yang digariskan di dalam Pelan Induk ECER 2.0 (EMP2.0) melainkan kemelesetan ekonomi global akibat pandemik Covid-19 berpanjangan.

“Kami yakin akan dapat mengembalikan momentum dengan pelanjutan insentif kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Selain meneruskan promosi untuk menarik pelaburan baharu ke ECER, Baidzawi berkata, projek-projek dan program-program berimpak tinggi yang digariskan di dalam EMP2.0 akan terus dilaksanakan.

Katanya, sektor perniagaan tani dan pelancongan dijangka menjadi tonggak utama dalam masa terdekat yang akan mendorong pemulihan ekonomi di wilayah ini.

“Ini disokong oleh pembangunan modal insan yang bertumpukan kepada kemahiran Industri 4.0 (IR4.0) yang akan menjadi faktor utama dalam membangunkan kemampuan dan meningkatkan daya tahan rakyat untuk menghadapi cabaran dalam era pasca Covid-19,” katanya.

Sebagai persiapan ke arah era pasca Covid-19, Baidzawi berkata, pembangunan kemahiran Industri 4.0 akan membolehkan rakyat memanfaatkan peluang-peluang baharu di masa hadapan dalam jangka masa panjang.

Katanya, Pusat Kecemerlangan Asia untuk Teknologi Pintar (ACES), sebuah kerjasama antara ECERDC dan TUM International GmbH (TUMInt) iaitu subsidiari universiti terkemuka Technische Universität München (Universiti Teknikal Munich) di Jerman akan memainkan peranan penting dalam transformasi digital di ECER.

“Kerjasama ini dimeterai dengan pembentukan ACES Smart Solutions Sdn Bhd dan bagi menyediakan tenaga kerja yang bersedia untuk Industri 4.0, ACES sedang membangunkan sebuah aplikasi web untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai aplikasi dan peluang kerjaya dalam Industri 4.0.

“Aplikasi ini adalah program kesedaran perintis di Malaysia yang menyasarkan golongan muda untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi dalam pengajian berkaitan dengan Industri 4.0 atau menjadi usahawan dalam ekosistem Industri 4.0,” katanya.



Source link