Buka restoran makanan segera Asean Pertama

KUALA LUMPUR: AirAsia merancang meluaskan lagi rangkaian restoran Santan dan T&CO ke pasaran global bermula dengan Malaysia dan negara Asean.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pihaknya menjangkakan untuk membuka lebih lima cawangan serta 100 restoran dan kafe yang dikendalikan oleh francais dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

Katanya, selain itu Santan dan T&CO juga bakal memasuki pasaran berpotensi lain seperti United Kingdom, Amerika Syarikat (AS), Australia dan China.

“Makanan adalah elemen sangat penting dalam kehidupan rakyat Malaysia dan ia jelas dapat dilihat dengan kejayaan AirAsia sebagai syarikat penerbangan pertama menjual makanan sendiri.

“Kami juga mahu menjadikan menu makanan ini dijual pada harga berpatutan dan bekerjasama secara langsung dengan pembekal bagi mendapatkan kos lebih murah,” katanya pada sidang media selepas pelancaran restoran Santan dan T&CO, di sini, semalam.

SAIFUDDIN mendengar penerangan daripadaCatherine selepas Majlis Pelancaran AirAsia’s Inflight Menu Santan and T&CO first flagship Restaurant, Kuala Lumpur. FOTO: Mohd Yusni Ariffin.

Santan dan T&CO kini melancarkan restoran makanan segera Asean pertama di Kuala Lumpur, yang menawarkan pelbagai hidangan dan minuman dari Asean pada harga yang berpatutan.

Pelancaran itu disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Hadir sama, Presiden Kumpulan AirAsia (RedBeat Ventures) Aireen Omar dan Pengurus Besar Restoran Santan dan Kafe T&CO Catherine Goh.

Sementara itu, Fernandes berkata, RedBeat Ventures (perniagaan digital bukan penerbangan) kini sedang melalui fasa pengembangan dan pihaknya perlu agresif untuk menerokai seluruh dunia seperti di London dan New York.

“Kami menerima banyak pertanyaan mengenai francais, justeru kami merancang untuk membuka francais Santan dan T&CO di China, tidak lama lagi.

“Selain itu, kami juga merancang untuk menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan popular seperti GrabFood dan FoodPanda bagi memudahkan lagi orang ramai yang ingin mendapatkan menu Santan dan T&CO ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *