APEC kali kedua tahun hadapan

KUALA LUMPUR: Malaysia sekali lagi bakal menjadi tumpuan seluruh dunia apabila menjadi tuan rumah bagi Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik 2020 (APEC 2020) yang bakal disertai lebih 21 ekonomi dan 16,000 delegasi antarabangsa.

Penolong Pengarah Utama Kanan (Substantif) Sekretariat Kebangsaan APEC 2020, Shamilah Perumal berkata, penganjuran APEC pada tahun hadapan bakal menyaksikan Malaysia menjadi negara hos buat kali kedua selepas menjadi tuan rumah buat pertama kali pada 1998.

Beliau berkata, APEC 2020 akan berlangsung sepanjang tahun hadapan dengan beberapa siri pertemuan dan mesyuarat utama yang akan diadakan di Langkawi, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Kota Kinabalu.

Katanya, ada lebih 120 mesyuarat dijalankan sepanjang APEC 2020 berlangsung bertujuan membincangkan pelbagai perkara mengenai pertumbuhan ekonomi di rantau ini.

“Malaysia sebagai tuan rumah pada kali ini mempunyai mandat yang besar untuk dilaksanakan dalam memastikan APEC 2020 dalam dijayakan dengan baik serta mencapai matlamat utamanya.

“Malah, dengan Matlamat Bogor yang dipersetujui pada 1994 akan mencapai tempoh matangnya pada 2020, penganjuran APEC itu membabitkan tugas Malaysia dalam menerajui matlamat seterusnya.

“Menjadikannya lebih bermakna, APEC 2020 ini menyaksikan Malaysia sebagai tuan rumah dengan Perdana Menteri yang sama seperti penganjuran pada tahun 1998,” katanya.

APEC adalah forum ekonomi serantau ditubuhkan pada 1989 bagi memanfaatkan kebergantungan yang semakin meningkat dalam kalangan negara Asia Pasifik.

Mengulas lanjut, Shamilah berkata, sebagai tuan rumah, Malaysia akan memastikan APEC 2020 akan membabitkan penyertaan ekonomi yang inklusif dalam menyediakan bekalan barang dan perkhidmatan.

Menurutnya, dari segi domestik, pihaknya berharap kumpulan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dapat memanfaatkan peluang yang ada secara langsung.

“PKS perlu tingkatkan keupayaan produk serta servis mereka dalam mempromosikan keluaran masing-masing sepanjang APEC 2020 berlangsung kerana ini peluang buat mereka.

“Ia sebahagian usaha pembangunan kapasiti dalam APEC 2020 di mana pameran dagangan turut diadakan khusus kepada kumpulan PKS tempatan,” katanya.

APEC 2020 akan dilancarkan secara rasminya pada 4 Disember ini oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *