Korea Utara godam bursa wang digital

GAMBAR HIASAN

SEOUL 16 Dis. – Agensi perisikan Korea Selatan menuduh para penggodam Korea Utara menjadi dalang dalam serangan terhadap bursa mata wang kripto atau cryptocurrency pada tahun ini apabila sejumlah wang digital bernilai 7.6 bilion won (RM28.5 juta) dicuri tahun ini.

Akhbar Korea Selatan, Chosun Ilbo memetik Perkhidmatan Perisikan Negara (NIS) melaporkan, serangan siber itu turut melibatkan kebocoran maklumat peribadi 36,000 akaun dari Bitthumb yang merupakan bursa pertukaran mata wang tersibuk di dunia pada bulan Jun lalu.

“Serangan lain termasuk kecurian mata wang digital dari akaun di bursa Yapizon yang kini dipanggil Youbit, dan Coinis pada bulan April dan September lalu. Kira-kira 7.6 bilion won yang dicuri kini bernilai kira-kira 90 bilion won (RM337.2 juta).

“NIS berkata, penggodam Korea Utara juga menuntut 6 bilion won (RM20.5 juta) dari Bitthumb sebagai balasan untuk memadamkan maklumat peribadi yang bocor,” lapor akhbar berkenaan.

Menurut laporan itu, satu lagi serangan siber terhadap kira-kira 10 pertukaran cryptocurrency oleh penggodam Korea Utara pada bulan Oktober menggunakan e-mel yang mengandungi malware telah berjaya digagalkan oleh Agensi Keselamatan Internet Korea (KISA).

“NIS mendapati bahawa malware yang digunakan dalam penggodaman bursa telah dibuat menggunakan kaedah sama seperti perisian malware yang digunakan untuk menggodam Sony Pictures serta bank pusat Bangladesh pada tahun 2014 dan 2016.

“NIS juga berkata e-mel yang digunakan dalam serangan berkenaan menggunakan alamat internet Korea Utara,” jelas akhbar itu.

NIS serta wakil KISA, Bitthumb, Youbit dan Coinis bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk memberikan komen berhubung isu terbabit.–REUTERS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *