Pemandu Uber, Grab tidak boleh ada rekod jenayah

Ketua Pegawai Operasi SPAD, Puan Qamar Wan Noor (kanan) bertanya sesuatu kepada pemandu bas ketika menyerahkan Aplikasi Meteron bagi telepon pintar semasa melakukan lawatan bas ke TBS, hari ini. – UTUSAN ONLINE/GHAZALI BASRI

KUALA LUMPUR 23 Nov. – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak akan membenarkan individu yang mempunyai rekod jenayah dan saman menjadi sebahagian daripada warga syarikat perkhidmatan perkongsian kenderaan seperti Uber dan Grab bermula awal tahun hadapan.

Perkara itu ditegaskan Ketua Pegawai Operasi, Qamar Wan Noor berikutan terdapat kejadian jenayah membabitkan pemandu perkhidmatan berkenaan baru-baru ini.

Ujar beliau, susulan kejadian itu, pihak Grab dan Uber diminta untuk memberikan maklumat lengkap berkaitan individu yang mendaftar sebagai pemandu supaya saringan rekod jenayah dan saman dapat dibuat oleh SPAD.

“Pada masa ini, kita masih menunggu perwartaan undang-undang berkaitan perkara tersebut dan berharap pelaksanaannya dapat dilakukan pada awal Januari nanti, sekali gus membolehkan individu sepatutnya sahaja diberikan kad e-pemandu,” katanya sempema lawatan SPAD di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), di sini hari ini.

Dalam pada itu, mengulas tentang isu bas jenazah yang tular bermula kelmarin, Qamar memberitahu, pihaknya sudah menyiasat dan mendapati terdapat salah faham.

Katanya, isu tersebut timbul berikutan bau sejenis bahan pencuci yang diguna untuk membersihkan bas terbabit selain terdapat tempat tidur pemandu bas kedua di bahagian hadapan. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *